Berhasrat beristeri dua, lelaki mavt ditkam isteri

 




NAIROBI – Polis di Teluk Homa, Kenya menahan seorang wanita berusia 19 tahun yang didakwa menikam suaminya hingga mati kerana rancangannya untuk mengahwini seorang lagi wanita untuk menjadi isteri keduanya, lapor portal berita Standard semalam.

Suaminya, Michael Onyango Ondiala, 32, meninggal dunia beberapa saat selepas dia ditikam dengan pisau di kampung Miyoro di sub-lokasi Kajwang, sub-daerah Ndhiwa oleh isterinya itu baru-baru ini.

Mengesahkan kejadian itu, seorang Penolong Ketua Kawasan, Enos Nyawade berkata, pergaduhan tercetus selepas si isteri tidak bersetuju mengenai rancangan tersebut.

Bagaimanapun, pertengkaran itu kemudian bertukar menjadi tragis apabila wanita tersebut mengambil sebilah pisau dan menikam perut suaminya yang merupakan bapa kepada dua orang anak sebelum mangsa meninggal dunia beberapa minit kemudian.

Berikutan kematian itu, sekumpulan penduduk kampung menyerbu rumah tersebut memaksa si isteri melarikan diri ke ladang tebu berhampiran.

Dalam video yang dirakam sejurus selepas dia dilaporkan menyerah diri kepada penolong ketua kampung, remaja berusia 19 tahun itu mendakwa rumah tangga mereka bermasalah selepas suaminya berkeras mahu berkahwin lagi.

“Suami saya mahu berkahwin dengan isteri kedua dan dia mula tidak menyukai saya. Pada suatu ketika, dia mengarahkan saya mengemas dan membatalkan perkahwinan (kami), sebelum pergaduhan bermula,” kata wanita itu.

Menurut Nyawade, suspek baru-baru ini pulang ke rumah selepas dia berpisah dengan si mati selepas berlakunya perselisihan faham.

Katanya, wanita itu meninggalkan si suami selama beberapa bulan dan kembali pada bulan lepas dan mereka telah mengalami pertengkaran yang berlarutan. 

“Jikalau penduduk melaporkan rungutan mereka kepada pegawai keselamatan dan bukannya mengambil undang-undang di tangan sendiri. Isu ini boleh diselesaikan secara baik,” tambah Nyawade.

Komander Polis Daerah Teluk Homa, Samson Kinne menyatakan wanita itu dalam tahanan pihak berkuasa dan beliau menggesa penduduk untuk mendapatkan nasihat daripada ketua agama dan orang tua apabila berhadapan dengan isu rumah tangga dan bukannya melalui pergaduhan fizikal bagi menyelesaikan masalah. – Agensi

Comments